Bulan lepas, seorang bekas pengurus jualan syarikat swasta dikatakan menghantar komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, di laman Facebook hingga mencetuskan kemarahan warga laman sosial sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan terhadapnya.

Eric Liew Chee Ling, 46 tahun, sebagai Orang Kena Saman (OKS), berdiri di luar kandang tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim MM Edwin Paramjothy.

Difahamkan, dia didakwa menggunakan aplikasi laman sosial Facebook dengan akaun bernama “Eric Liew” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang berbaur tidak elok terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-15, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di antara pukul 7.01 petang dan 9.23 malam pada 6 Januari lepas.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Muhamad Asyraf Md Kamal, mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Liew mengambil kira keseriusan kes tersebut apabila komen yang dibuat menyentuh kehidupan peribadi Yang di-Pertuan Agong.

Walau bagaimanapun, peguam Liew, New Sin Yew, memohon dikurangkan jumlah jaminan serta memberi jaminan yang lebih munasabah.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Mohd Sophian Zakaria, pula berkata jaminan yang dicadangkan adalah memadai kerana kes tersebut dikategorikan sebagai kes berprofil tinggi kerana membabitkan pemimpin tertinggi negara.

Mahkamah memutuskan Liew diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan tarikh 26 Mac ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Sumber: Malaysiakini & Bernama