Berikutan penularan penyakit virus influenza yang sedang melanda di negara ini, stok simpanan vaksin influenza daripada pembekal swasta juga telah habis pada ketika ini.

Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan bahawa sejumlah 99,470 dos lagi akan dibawa masuk pada bulan ini.

“Sehingga kini, terdapat enam produk vaksin influenza yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah(PBKD) di Malaysia. Jumlah keseluruhan kuantiti yang telah dibawa masuk untuk pasaran Malaysia sepanjang tahun 2019 bagi keenam-enam produk vaksin tersebut adalah sebanyak 638,388 dos,” ujarnya.

“Daripada jumlah keseluruhan bekalan ini, hanya 10 peratus merupakan bekalan ke fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM). Pola permintaan terhadap vaksin influenza didapati telah meningkat secara mendadak pada akhir tahun 2019 dan awal tahun 2020,” jelasnya.

hmetro.com.my

“Pihak pembekal telah mengagihkan sejumlah 40,000 dos vaksin influenza ke hospital dan klinik swasta pada 7 Januari 2020, sehingga menyebabkan baki stok dalam simpanan pihak pembekal habis buat masa ini. Pihak KKM telah dimaklumkan bahawa sejumlah 99,470 dos lagi akan dibawa masuk pada bulan Januari 2020,” katanya.

Selain itu, bekalan ubat antiviral yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus influenza, Oseltamivir, masih ada di fasiliti KKM walaupun permintaan meningkat empat kali ganda pada Disember 2019.

“Memandangkan terdapat permintaan yang mendadak di fasiliti kesihatan swasta, lima (5) pembekal sedia ada yang berdaftar tidak dapat menampung permintaan tersebut,” tambahnya.

“Setakat ini KKM telah meluluskan hampir 1.1 juta kapsul/tablet bagi tempoh Disember 2019 hingga Januari 2020 untuk memenuhi permintaan fasiliti kesihatan swasta. Kuantiti ini dianggarkan dapat merawat sejumlah 110,000 orang pesakit,” sambungnya lagi.

Sumber: Astro Awani