Laporan polis dibuat oleh tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat terhadap individu yang dikatakan membuat ugutan bunuh di laman sosial Facebook kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Laporan tersebut dibuat oleh wakil NGO iaitu Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada tengah hari semalam.

peraktoday.com.my

“Semalam, dalam satu kenyataan di FB, netizen tersebut mengugut mahu menembak Tun (Dr Mahathir), selain menyatakan hampir 2,000 ahli persatuan NGO seperti Persatuan Ayahanda akan berhimpun di Dataran Merdeka di sini sebagai satu protes menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH),” jelasnya.

Menurutnya, dia mewakili NGO lain seperti Kesatuan Melayu National, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irimm), Akhlak Rahsia Cekal (ARC), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Refomis dan Kipidapp mahu menegaskan bahawa mereka tidak terlibat seperti dakwaan individu terbabit.

“Kami menyokong sepenuhnya kerajaan semasa kerana negara kita merupakan negara berdemokrasi dan setiap keputusan adalah pilihan rakyat sendiri, jadi hormati keputusan itu,” tambahnya.

Rani Kulup berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan supaya dapat membendung gejala tidak elok seperti ini yang boleh menjejaskan keamanan negara.

Sumber: mStar