Bayi kembar tiga tular di negara seberang, Indonesia, kerana diberi nama Avanza oleh ayahnya selepas dilahirkan dalam kereta Toyota Avanza.

Kejadian tersebut berlaku pada 27 Ogos lalu semasa Azri Prihatna menghantar isteri, Mumun Muafiyah, yang sedang sakit mahu bersalin ke hospital.

Fb HerbalAssy1fa

Mumun sakit mahu bersalin lebih awal berbanding tarikh jangkaan dia akan bersalin iaitu pada 22 September ini.

“Tapi dia berterusan sakit sejak jam 6 pagi. Saya yang sedang berada di rumah memanggil saudara untuk menghantarnya ke hospital menggunakan kereta Avanza miliknya,” lapor Kompas.com.

Menurutnya, isterinya mengadu sakit selepas lima kilometer perjalanan dan rasa mahu terus bersalin lalu melahirkan anak pertama di dalam kereta tersebut.

Anak pertama mereka dilahirkan pada pukul 7.35 pagi dan selang lima minit, anak kedua dan ketiga pula lahir dan pasangan ini mendapat tiga anak perempuan kembar.

Prihatna tidak menyangka mereka akan mendapat kembar tiga kerana imbasan sebelum ini hanya menunjukkan isterinya mengandung anak kembar dua sahaja.

Bagi meraikan kelahiran ketiga-tiga puterinya yang lahir di dalam kereta Avanza, dia menamakan mereka Nazrina Khaira Avanza, Nazrina Haura Avanza dan Nazrina Khaula Avanza.

“Nama adalah doa, saya lihat maksud Avanza bagus juga. Bererti maju, peningkatan. Harap-harap mereka membesar dengan sihat, cerdas dan terus memberi kebaikan kepada semua,” jelasnya.

Sumber: mStar