Sudah banyak kes pengasuh dera bayi dalam jagaannya hingga meninggal dunia sebelum ini. Nampaknya, kes sebegini masih lagi berterusan sehingga kini walaupun kita baru memasuki tahun 2019.

Seorang wanita, Hayati Yaman, 39 tahun, didakwa di Mahkamah Majistret Sibu, Sarawak, kerana membunuh seorang bayi lelaki berumur sembilan bulan dalam jagaannya.

Dia didakwa membunuh mangsa, Aariz Harraz Zahin, 7 Januari lalu di antara pukul 5.45 pagi hingga 12.30 tengah hari di sebuah rumah di Permai Jaya, Sibu.

Difahamkan, mangsa dalam keadaan lemah semasa ibu bapanya mengambilnya dari rumah suspek dan kemudian terus ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

mstar.com.my

Walau bagaimanapun, mangsa meninggal dunia selepas berada dalam keadaan kritikal hampir seminggu di Unit Rawatan Rapi Neonatal(NICU).

Keputusan bedah siasat mendapati bayi malang itu meninggal dunia kerana kecederaan dalam kepala dan bengkak otak yang selari dengan keadaan bayi yang digoncang kuat dan bukannya disebabkan jatuh.

Difahamkan, tertuduh tidak memberi sebarang pengakuan serta hanya mendiamkan diri semasa tuduhan dibacakan. Oleh itu, mahkamah menetapkan hujung bulan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Berita Harian