Tinggal seminggu lebih sahaja lagi sebelum umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Berikutan itu, aktiviti kunjung-mengunjung ketika sambutan Aidilfitri tidak digalakkan untuk pelawat selain ahli keluarga sahaja yang dibenarkan dengan syarat mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan perkara itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard(SOP) KKM yang melarang sebarang perhimpunan.

“Yang kita katakan ahli keluarga (boleh melakukan kunjungan 20 orang) bukan kita galakkan pelawat datang rumah,” ujarnya.

“Isunya bukan nombor 20 itu, isunya 20 itu relatif kerana kalau kita lihat garis panduan KKM pertama (perlu) penjarakan sosial. Kita anggar 20 orang mungkin anggota keluarga termasuk anak dan cucu,” jelasnya.

“Jadi nombor itu relatif bergantung kepada rumah, kalau apartmen kecil, bukan 20 orang dalam satu masa tapi mungkin boleh gunakan cara lain seperti janji temu secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

“Pastikan kita ikut SOP KKM iaitu penjarakan sosial, kalau dalam apartmen 20 orang berada pada ruang sesak dan sempit, itu melanggar peraturan KKM,” ujarnya.

“Kita kena pastikan penjarakan sosial diamalkan di rumah contohnya apabila ada kalangan mereka yang datang melawat ke rumah pastikan kita lindungi warga emas jadi tiada aktiviti bersalaman atau cium (berlaga pipi) dan sebelum masuk rumah cuci tangan guna cecair pembasmi kuman,” tambahnya lagi.

“Pastikan kita lindungi warga emas kerana jumlah kematian kes babitkan 60 tahun ke atas lebih 50 peratus. Kalau mereka ada kencing manis, darah tinggi dan NCD (penyakit tidak berjangkit) jumlah kematian 85 peratus dan ke atas,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro