Selain membuat pemeriksaan terhadap restoran makanan segera terkenal, Kentucky Fried Chicken(KFC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) juga akan membuat pemeriksaan terhadap restoran McDonald’s selepas rungutan pengguna yang tular di laman media sosial.

utusan.com.my

Difahamkan, rungutan tersebut disebabkan oleh dakwaan kenaikan harga mendadak bagi hidangan makanan di kedua-dua restoran makanan segera itu terutama di ibu negara.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, memberitahu bahawa pegawai KPDNHEP telah mulakan pemeriksaan terhadap restoran KFC mulai hari ini.

“Kita dah mulakan siasatan dan pagi ini, pegawai saya telah mula mendapatkan maklumat daripada KFC, kenapa naik harga,” katanya.

“Ya, kita akan tengok juga harga makanan di McDonalds. Sekarang ini, yang menjadi isu adalah di KFC tetapi kita akan mula juga dapatkan maklumat mengenai harga makanan di McDonalds,” tambahnya.

Semalam, pihak KFC memaklumkan bahawa mereka telah melakukan sedikit penyelarasan harga jualannya dengan memasukkan SST sebanyak enam peratus, berkuatkuasa bulan ini(Disember).

Terdahulu, tular di laman media sosial rungutan pengguna berikutan kenaikan mendadak harga hidangan berasaskan ayam di restoran KFC.

Sumber: Astro Awani