Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) menyatakan bahawa pihaknya sedang menghapuskan caj 10 peratus Touch ‘n Go(TNG) di kawasan parkir kenderaan secara berperingkat.

freemalaysiatoday.com

Timbalan Menteri, Chong Chieng Jen, berkata masih terdapat kontrak sedia ada yang perlu dipatuhi sebelum penghapusan sepenuhnya dilakukan.

“Itu polisi yang kita warisi daripada Barisan Nasional(BN). Sekarang kita sudah membetulkannya. Sekarang kita nak hapuskan kos tambahan di mana surcaj 10 peratus itu akan dibatalkan,” ujarnya.

“Namun, oleh kerana tertekan dengan kontrak. Semasa tamatnya kontrak sedia ada, ia (caj 10 peratus) tidak akan dikenakan lagi. Ia dilakukan secara berperingkat,” jelasnya.

Ditanya berkenaan caj 50 sen yang dikenakan kepada pengguna apabila menambah nilai di beberapa kawasan tambah nilai TNG, caj tersebut tidak diterima oleh TNG sebaliknya diterima oleh penyedia perkhidmatan.

“Sekarang ada pilihan di mana di seluruh negara terdapat lebih 11,000 tempat tambah nilai dan lebih 2,000 tempat di mana pelanggan boleh tambah nilai tanpa caj 50 sen,” katanya.

“Namun, di tempat lain, ia bergantung kepada perbincangan perniagaan atau business to business discussion di mana tempat perniagaan yang menawarkan khidmat tambah nilai kad, caj 50 sen itu dikenakan oleh penyedia perkhidmatan,” tambahnya lagi.

“Caj 50 sen tersebut tidak dikutip oleh TNG, tapi pengusaha sesetengah stesen minyak atau pasar raya yang menawarkan perkhidmatan itu,” sambungnya.

Sumber: Astro Awani