Mulai hari ini sehingga 8 Oktober depan, pihak Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah telah mengeluarkan notis mengenai penutupan Kompleks Taman Kinabalu.

Gambar sekadar hiasan

Ia berikutan seorang pendaki Tawau mempunyai kontak rapat dengan individu yang didapati positif Covid19, menurut Setiausaha Tetap, Dr Jamili Nais.

“Pihak kita telah dimaklumkan bahawa pada tarikh 13 sehingga 14 September lalu, seorang pendaki dari Tawau yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid19 didapati positif,” ujarnya.

“Oleh itu, JKNS mengesyorkan supaya Kompleks Taman Kinabalu ditutup kepada orang awam termasuk pendaki ke Gunung Kinabalu selama 14 hari berkuatkuasa pada 25 September sehingga 8 Oktober,” jelasnya.

“Semua kakitangan yang bertugas di pusat saringan, kaunter pendaftaran serta pintu masuk Kompleks Taman Kinabalu dan Panalaban dikehendaki menjalani saringan kesihatan hari ini di Dewan Kinabalu,” katanya.

Gambar sekadar hiasan

“Selain itu, semua malim gunung dan porter serta kakitangan Sutera Sanctuary Lodge (SSL) dan Mt Torq yang terdedah kepada jangkitan Covid-19 ketika bertugas pada dua tarikh berkenaan dikehendaki menjalani saringan kesihatan,” tambahnya.

Selain itu, kakitangan dan malim gunung rombongan pendaki yang dikenalpasti terdedah rapat dikehendaki menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan saringan kesihatan diperolehi.

“Walau bagaimanapun, kakitangan Taman, SSL dan Mt Torq serta agensi yang ada kepentingan akan dibenarkan masuk di samping semua kemudahan awam akan dilakukan proses nyahkuman,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro