Mulai Rabu (14 Oktober) ini, pihak kerajaan bakal melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor berkuat kuasa pada pukul 12.01 tengah malam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyatakan PKPB akan berkuat kuasa sehingga 27 Oktober depan.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM), serta peningkatan kes positif Covid19 sejak kebelakangan ini.

“Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira kes peningkatan dan penularan yang berlaku seperti di Klang di Petaling dan kes dilihat meningkat di Gombak dan daerah-daerah lain,” ujarnya.

Untuk pengetahuan anda, pergerakan keluar masuk atau merentas daerah adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Bagaimanapun, bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan. Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

Malah, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, tahfiz, taman awam, masjid dan rumah ibadat, pusat rekreasi, serta pusat hiburan dan kelab malam turut ditutup.

Selain itu, semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, budaya termasuklah majlis perkahwinan tidak dibenarkan.

“Walaubagaimanapun, semua kegiatan ekonomi di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa,” ujarnya.

“Senarai SOP lanjut dan lebih terperinci akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara(MKN) dalam masa terdekat,” sambungnya lagi.

Sumber: Astro Awani