Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya mengesahkan penyebab keracunan makanan laksa baru-baru ini adalah berpunca daripada bakteria ‘salmonella enterica serovar weltevreden’.

Gambar sekadar hiasan

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memberitahu bahawa ujian ‘Pulse Field Gel Electrophoresis’ (PFGE) yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang mendapati bakteria tersebut dikesan dalam sampel klinikal pesakit serta sampel mee laksa.

“Bakteria tersebut dikesan daripada mee laksa yang dibeli pada 4 Okt dari gerai terbabit. Mee laksa tersebut dihasilkan di premis pemprosesan milik pengusaha yang juga tuan punya gerai,” ujarnya.

“Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca dari proses penyediaan dan penyimpanan mee laksa yang tidak bersih serta suhu penyediaan semasa pemprosesan selain suhu pemanasan semula mee laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman,” tambahnya.

Jumlah keseluruhan kes kekal 83 termasuk dua kematian susulan kejadian keracunan makanan yang berpunca daripada memakan laksa yang dibeli di sebuah kedai di Kupang, Baling, Kedah pada 8 Oktober lalu.

Sebanyak 34 kes termasuk dua kes kematian dilaporkan di Perak, 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor, dengan kesemua yang dirawat telah dibenarkan pulang.

‘Salmonella enterica serovar weltevreden’ merupakan salah satu serotaip bakteria ‘salmonella spp’ yang boleh menyebabkan gejala seperti demam, muntah, sakit perut dan cirit birit berpunca daripada pencemaran makanan serta air.

Walau bagaimanapun, gerai laksa yang ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 itu boleh dibuka semula sekiranya mematuhi sepenuhnya Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kesihatan Makanan 2009 dan keperluan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sumber: Astro Awani