Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM), sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk meluaskan kawasan larangan merokok sehingga kawasan institusi-institusi pengajian tinggi seperti sekolah-sekolah swasta dan awam, serta universiti dalam tahun ini.

ismaweb.net

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memberitahu bahawa rancangan itu sedang dipertimbangkan selaras dengan fokus kementerian untuk melindungi hak kalangan mereka yang tidak menghisap rokok, yang merangkumi kira-kira 80 peratus daripada penduduk negara.

“Agenda Kementerian Kesihatan adalah untuk memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan persekitaran yang sihat buat kalangan bukan perokok. Mereka yang merokok boleh meneruskan tabiat mereka, tapi mereka perlu menghormati hak bukan perokok,” katanya.

Sebelum ini, perintah larangan merokok dikuatkuasa di bangunan Parlimen, diikuti premis menjual makanan mulai tahun ini, di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, dan selepas itu pihak kementerian dikatakan turut sedang menimbang kemungkinan menguatkuasa larangan berkenaan di kedai-kedai dobi dan hotel.

Dalam tempoh enam bulan pelaksanaan larangan merokok di premis-premis menjual makanan, penguatkuasa Kementerian Kesihatan tidak akan mengenakan kompaun, hanya mengeluarkan surat-surat amaran, dan selepas tempoh itu sesiapa yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM10,000, atau dipenjara sehingga dua tahun.

Sumber: Astro Awani