Kementerian Kesihatan Malaysia komited untuk memulakan suntikan pneumococcal kepada semua kanak-kanak tahun depan melalui peruntukan RM60 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Gambar sekadar hiasan

“Kita harus melihat jumlah peruntukan yang diberikan. Kita perlu merumuskan strategi tentang kaedah terbaik untuk memulakan suntikan vaksin itu,” ujar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, kementerian juga telah mengkaji cadangan untuk mewajibkan suntikan vaksin dan akan membuat keputusan muktamad mengenainya tidak lama lagi.

Untuk pengetahuan anda, visi Kementerian Kesihatan adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak diberikan suntikan dan mencapai 95 peratus kadar vaksinasi.

Selain itu, mengulas mengenai program vaksin pneumococcal, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan bahawa terdapat keperluan untuk memberi keutamaan terlebih dahulu dan mengadakan pra-rundingan harga.

“Kita boleh berunding dengan syarikat-syarikat berkenaan dan memberi keutamaan kepada kumpulan pesakit seperti kumpulan berisiko tinggi sebelum melancarkan Pelan Imunisasi Negara,” katanya.

Program itu dijangka bermula pada suku pertama tahun depan bergantung kepada proses rundingan dan pada masa yang sama tidak berkompromi mengenai kualiti.

Penyakit pneumococcal disebabkan oleh bakteria dikenali sebagai streptococcus pneumoniae, yang boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan serius dan sering berlaku dalam kalangan golongan muda, warga emas dan mereka yang mengalami keadaan perubatan kronik.

Ini termasuk jangkitan paru-paru/inflamasi (radang paru-paru), meningitis (inflamasimembran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak), sepsis (jangkitan dalam darah), sinusitis (jangkitan sinus) dan otitis media (jangkitan telinga tengah).

Sumber: Sinar Harian & Bernama