Sejak gambar seorang bapa menggendong anak kecil semasa menaiki motor viral semalam, ramai yang tumpang simpati malah sebak mengenangkan betapa besarnya pengorbanan seorang bapa demi membesarkan anak.

Difahamkan, seorang pengguna laman Twitter, @ATMology atau dikenali sebagai Adam, berkongsi usaha dan perbualan bersama lelaki menaiki motor tersebut yang bernama Encik Mat.

Menurutnya, dia cuba meminta nombor akaun Encik Mat untuk memberi sumbangan derma selepas gambar dia menggendong anak kecil di atas motor tular di laman sosial.

“Saya sendiri tak tahu nak cakap apa, segan pun ada. Terima kasih banyak-banyak dengan sumbangan ni. Hanya Tuhan sahaja mampu balas apa yang awak buat,” ujarnya.

Selain itu, Encik Mat turut menjelaskan kisah sebenar yang berlaku di sebalik gambar yang tular itu kerana ketika itu, dia dalam perjalanan untuk menghantar anaknya ke taska namun seorang hamba prihatin ternampak lalu mengambil gambar dirinya.

Kelihatan Encik Mat berulang kali meminta maaf kerana tidak mahu orang ramai salah faham dengan situasi yang dihadapinya itu.

Walau bagaimanapun, Adam menjelaskan bahawa Encik Mat tidak perlu berasa segan kerana dia tidak meminta sedekah tetapi orang ramai yang ikhlas mahu membantunya.

Semoga Encik Mat dimurahkan rezeki agar dapat memberi kehidupan yang sesuai untuk anak kecilnya serta keluarganya.

Sumber: Twitter @ATMology