Sudah lebih satu dekat restoran cina Muslim, Restoran Mohd Chan, beroperasi dan kini telah mempunyai 18 cawangan di sekitar Lembah Klang menarik ramai pengunjung makan termasuklah pengunjung bukan Muslim.

Itulah kejayaan hasil penat lelah Datuk Mohd Chan Abdullah, 65 tahun, selepas memeluk Islam. Restoran miliknya itu bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian masakan Cina, malah mengubah persepsi pelanggan beragama Islam mengenai sesetengah masakan cina yang selalu menggunakan bahan dan ramuan tidak halal.

Menurut usahawan berasal dari Gombak, Selangor ini, dia menjelaskan bahawa dia tidak pernah memaksa ahli keluarganya yang lain untuk memeluk Islam sepertinya.

“Sudah 11 tahun saya masuk Islam, saya pakai kopiah ke mana saja saya pergi dan tidak pernah menanggalkannya. Mengapa? Sebab dulu pada mulanya ramai yang tidak percaya saya sudah memeluk Islam, lebih-lebih lagi bila mahu mengusahakan restoran Cina Muslim,” jelasnya.

“Macam mana nak beritahu saya seorang Muslim, soal saya dalam hati. Letak satu kopiah, itu yang mereka boleh lihat secara luaran. Tapi bagi diri saya, dalaman saya adalah amalan dan ajaran Islam yang saya ikuti, terutama solat lima waktu sehari,” sambungnya yang tertarik dengan Islam kerana disiplin dalam ajarannya seperti kewajipan menunaikan solat.

Selain itu, Mohd Chan juga menyifatkan gayanya berkopiah tidak pernah silap, malah dapat memberi pengaruh kepada keluarganya mengenai keistimewaan agama Islam.

“Mereka tidak tertanya-tanya atau berasa hairan kenapa saya memakai kopiah, mungkin mereka sudah boleh meneka mengapa saya sering bergaya sedemikian,” ujarnya.

“Saya fikir ia adalah cara untuk mempengaruhi mereka. Setiap hari pakai kopiah ke mana-mana, bila-bila masa kecuali apabila mahu mandi, jadi sudah terbiasa dengan keadaan ini sehingga sekarang,” tambahnya.

“Selepas saya bergelar mualaf, isteri memeluk Islam tiga bulan kemudian. Anak-anak saya pula mengikut jejak langkah saya dengan pilihan mereka sendiri secara berperingkat. Malah, dua menantu juga membuat keputusan yang sama. Syukur Alhamdulillah,” katanya.

Sumber: mStar