Siapa yang duduk di Georgetown, Pulau Pinang mesti tahu bangunan cawangan KFC di Jalan Larut yang lawa itu. Walau bagaimanapun, bangunan cawangan KFC di Jalan Larut, di Georgetown akan menamatkan operasi hari ini.

Sudah pasti tempat itu meninggalkan memori kepada pelanggan, khususnya penduduk Pulau Pinang. KFC yang dibuka sejak tahun 1987 itu adalah cawangan KFC tertua di Pulau Pinang. Ia juga menjadi antara cawangan yang unik di Malaysia berikutan beroperasi dalam bangunan kolonial tinggalan British.

Pelanggan, Khairol Ikram Selamat, 34, berkata, perasaannya bercampur baur apabila mengetahui cawangan terbabit akan menamatkan operasi hari ini selepas notis penutupannya tular di laman sosial sejak minggu lalu.

Khairol Ikram yang berasal dari Tanjung Tokong itu berkata, selepas tular mengenai notis penutupannya beberapa hari lalu, dia ke KFC berkenaan selepas waktu bekerja bersama beberapa rakannya.

“Banyak kenangan saya sejak kecil dan di sini juga tempat saya bertemu isteri, Jaslinna Mohamed Yusoff, 34, sehingga kami berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata.

“Sebaik tiba di sini semalam, ada sambutan bersama maskot KFC dan kami jadikan ia sebagai pengalaman manis,” kata pengurus di syarikat swasta itu, ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holding Bhd, Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, cawangan terbabit ditutup atas persetujuan pemilik bangunan.

“QSR yang juga pemilik francais KFC di Malaysia mencapai persetujuan bersama bagi tidak memperbaharui penyewaan bangunan terbabit malah 22 pekerja di situ akan dipindahkan ke cawangan lain,” katanya.

Sumber: Metro