Kegunaan kolah di masjid dan surau digunakan untuk jemaah mengambil wuduk sejak dulu lagi sehingga sekarang di beberapa tempat walaupun kita sudah mempunyai air paip.

Kolah yang dibina pada tahun 1948 dan berusia 74 tahun di Masjid Kampung Baru Tetambah, Manir, Terengganu, walaupun kelihatan biasa namun kemudahan yang dibina sebelum negara kita merdeka itu masih menjadi tumpuan penduduk setempat sehingga kini.

Walaupun masjid itu sudah dilengkapi bekalan air paip, kolah itu masih lagi menjadi pilihan jemaah untuk mengambil wuduk.

Imam masjid, Mohamad Sulaiman, 81 tahun, menjelaskan bahawa pembinaan kolah itu dibuat selepas 10 tahun ia menjadi surau dan seterusnya dibangunkan untuk menjadi masjid pada tahun 1974.

“Uniknya kolah ini kerana ia dibina secara bergotong-royong oleh penduduk yang diketuai mualaf berbangsa Cina yang dipanggil Lebai Abdullah,” ujarnya.

“Saya masih kecil ketika proses pembinaannya, tetapi masih ingat kenangan bergotong-royong dengan memikul pasir yang diambil di Sungai Nerus untuk pembinaannya,” jelasnya.

“Sungai itu pula terletak kira-kira dua kilometer dari masjid dan pembinaannya ambil masa sebulan untuk disiapkan,” katanya.

Difahamkan, kolah berkenaan menjadi tumpuan masyarakat setempat adalah kerana ia antara kolah air wuduk paling tua di daerah tersebut.

“Ada juga dakwaan mengatakan air kolahnya dapat menyembuhkan penyakit tetapi kami tidak menggalakkan kepercayaan begitu kerana hanya mensyirikkan Allah sahaja,” sambungnya.

Selain itu, jemaah masjid, Zawawi Deraman, 38 tahun, menyatakan kolah itu menjadi perhatian terutama jemaah yang kali pertama datang ke masjid itu.

“Maklumlah kolah itu dibina sebelum negara mencapai kemerdekaan, oleh itu ia memang unik bagi generasi baru disebabkan reka bentuk dan cara buatannya. Ia juga tahan lebih lama daripada kolah baru,” jelasnya lagi.

Terdapat beberapa inisiatif daripada pihak masjid untuk mencantikkan kolah itu termasuklah mengecat tulisan asal tarikh kolah dibina seterusnya menjadikan ia lebih menonjol dan menarik perhatian orang ramai.

Sumber: Harian Metro