Apakah perasaan anda jika anda terjumpa ketulan emas terbesar di dunia yang bakal mencatat sejarah dunia? Pasti anda berasa teruja dan bertuah kerana berjaya menjumpai sesuatu yang menjadi sejarah.

Baru-baru ini, seorang pelombong, Henry Dole, terkejut apabila menjumpai ketulan emas bersaiz besar seberat 89 kilogram (kg) dianggar bernilai £2 juta (RM10.8 juta) seterusnya menjadikan ia ketulan emas paling berat pernah ditemui dalam sejarah.

Henry menemukan ketulan emas itu semasa bekerja di lombong Beta Hunt milik syarikat RNC Minerals berhampiran Kambalda, barat Australia.

Ketulan emas itu memerlukan tiga lelaki untuk mengangkatnya dan kemudian mereka mengeluarkan 40 ketulan lagi yang dianggarkan bernilai £10 juta (RM54 juta).

Menurutnya, dia menemui ketulan emas tersebut semasa melombong di kawasan sedalam 500 meter di lombong berkenaan.

“Ketika menggerudi, saya melihat kilauan emas dari celah lubang dan terus terfikir “Ada sesuatu di sini,” katanya yang mempunyai pengalaman melombong emas selama 16 tahun.

Tambahnya, penemuan itu menunjukkan lombong Beta Hunt boleh menjadi lombong emas yang sangat besar selepas ini.

Difahamkan, pengawal bersenjata bakal mengawal ketulan emas itu ketika ia dibawa ke peti keselamatan dan kawalan keselamatan di lombong itu juga diperketatkan.

Sumber: Harian Metro