Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan 18 daripada 19 tertuduh untuk membela diri dalam kes kematian seorang pelajar Universiti Pertahanan Malaysia(UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas Hakim Datuk Azman Abdullah, mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir sesi pendakwaan.

hmetro.com.my

Walau bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Mohamad Akmal Akif Alias, dilepaskan dan dibebaskan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dan mendatangkan kecederaan.

Enam daripada tertuduh akan dibicarakan di bawah Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Manakala 12 tertuduh yang lain pula akan dibicarakan di bawah Seksyen 330 kanun yang sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Untuk pengetahuan anda, semua tertuduh didakwa terbabit dalam membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM di antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Selain itu, bapa Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros sempat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kematian arwah terbela selepas melakukan sujud syukur di luar kamar mahkamah. Hakim menetapkan perbicaraan akan bermula 2 Oktober ini.

Maksud
Prima facie: Bukti yang munasabah.

Sumber: Astro Awani