Beberapa hari lalu kecoh apabila sebuah video mengenai lelaki cedera akibat dilanggar kereta dinaiki isterinya tular di laman sosial Facebook.

Video tular itu bertajuk “Isteri curang bersama teman lelaki langgar suami sehingga koma” mendapat perhatian warga laman sosial namun tiada tindakan daripada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Barudin Wariso, memberitahu kejadian tersebut berlaku di Taman Cahaya Kristal, Bandar Baharu pada Ogos tahun lalu.

Malah, laporan polis telah dibuat oleh isteri kedua mangsa mengenai kejadian tersebut dan pihak polis telah pun menjalankan siasatan sebelum menahan isteri pertama dan pemandu kereta terbabit.

“Dalam laporan itu, isteri pertama datang menaiki kereta Perodua Myvi dipandu anak saudara lelaki bersama ibu bapanya untuk berbincang hak penjagaan anak lelaki mereka berusia tiga tahun,” katanya sambil memberitahu mangsa melompat ke atas but bagi menghalang kereta sebelum terjatuh dan cedera di kepala.

“Pemandu kereta terbabit juga sudah didakwa mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan perbuatan yang membahayakan nyawa manusia dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan sengaja,” tambahnya.

Pada 27 Mac lalu, Mahkamah Majistret Kulim menjatuhkan hukuman denda untuk kedua-dua pertuduhan terhadap lelaki terbabit dan kemudian telah membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Oleh itu, pihak polis memberi amaran kepada orang ramai atau mana-mana pihak supaya tidak menular kembali video terbabit di laman sosial hingga menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat.

Sumber: Harian Metro