Sebelum ini, kes jangkitan Covid19 di daerah Gombak, Selangor, berada di zon merah sudah bertukar ke zon kuning, semalam.

Menurut info Pasukan Petugas Pencegahan COVID19 Selangor (STFC) di laman web Menteri Besar, Gombak merekodkan 35 kes aktif sehingga 12 tengahari semalam berbanding 55 kes kelmarin dan secara keseluruhannya merekodkan 234 kes jangkitan.

Malah, Selangor turut merekodkan zon merah sifar di peringkat mukim apabila mukim Batu yang berada di zon itu mengalami penurunan kes aktif seterusnya tergolong dalam zon kuning.

“Hari ini (semalam) Mukim Batu sudah bertambah baik daripada zon merah (49 kes aktif) kepada zon kuning (29 kes aktif) yang menjadikan Selangor tiada langsung mukim zon merah pada hari ini,” ujarnya.

“Perkembangan ini juga mempengaruhi Daerah Gombak yang mana ia turut bertambah baik kepada daerah zon kuning. Hal ini menjadikan Selangor sekali lagi mencatatkan satu saja daerah berstatus zon merah iaitu Petaling,” jelasnya.

“Mukim Hujung Permatang juga bersih daripada kes aktif yang menjadikannya berstatus zon hijau. Tahniah buat semua warga Selangor!,” katanya.

“Graf kes baharu kelihatan sudah dilandaikan dengan taburan data kesyang stabil rendah namun perlu diingatkan bahawa virus COVID-19 masih wujud di sekeliling kita,” tambahnya.

“Pembawa virus yang tidak bersimptom (asymptomatic) masih lagi ancaman buat kita justeru warga Selangor masih lagi tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai(PKPBD),” sambungnya lagi.

Selain itu, lima daerah lain yang masih berada dalam zon kuning adalah Hulu Langat (31), Klang (11), Kuala Selangor (3), Hulu Selangor (9), Sepang (1) dan Sabak Bernam (1).

Sehingga kini, terdapat 152 kes aktif, 1,359 kes sembuh dan 21 kematian direkodkan di Selangor.

Sumber: Harian Metro