Pihak Polis Diraja Malaysia(PDRM) telah mengklasifikasikan kes anggota bomba dipukul perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya bulan lepas, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 tahun, sebagai kes bunuh.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab, sebelum ini polis mengklasifikasikan kes Muhammad Adib di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan berikutan kecederaan yang dialami oleh allahyarham.

“Kes cubaan membunuh dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan ekoran kecederaan yang dialami oleh anggota bomba Muhammad Adib di Seafield, Subang Jaya pada 27 November lalu, kini telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujar Ab Rashid.

Semalam, Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41 malam. Atas permintaan keluarga, jenazah allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah untuk dikebumikan.

Sumber: Astro Awani