Rakyat negara ini sedia maklum bahawa pihak kerajaan mewajibkan peraturan pemasangan dan penggunaan kerusi bayi dalam setiap kereta persendirian mulai tahun depan.

Baru-baru ini, seorang pengguna laman Twitter, @anissyazwanie, meminta bantuan warga laman sosial untuk mengesan satu baby car seat miliknya yang dicuri akibat keretanya dipecah oleh penjenayah di sebuah pasar raya di Bukit Indah, Johor Bahru.

Menurutnya, kerusi bayi jenama terkenal Chicco berwarna hitam kelabu itu diletakkan di bahagian belakang.

“Sabar je lah, sesiapa yang ada terjumpa orang yang tiba-tiba jual ‘preloved car seat’ jenama Chicco next fit, warna hitam kelabu terutama di kawasan Johor Bahru, beritahu ya,” tulisnya.

“Curi barang aku tak mengapa, yang buat aku geram dia curi barang anak aku ni,” ujarnya.

Difahamkan, kawasan parkir berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup(CCTV) sekaligus menyukarkan usahanya untuk mengesan penjenayah itu.

Kejadian itu berlaku pada tengah hari dan penjenayah telah mematikan fungsi sistem penggera kereta sebelum memecahkan tingkap belakang kereta bagi mengelakkan kegiatan diketahui.

Perkongsian itu mendapat simpati daripada warga laman sosial yang menyifatkan kerusi keselamatan bayi kini menjadi rebutan berikutan peraturan wajib oleh kerajaan mengenai kerusi keselamatan bayi bakal dilaksanakan tahun depan.

Sumber: Sinar Harian & Twitter @anissyazwanie