Isu LGBT di negara ini sememangnya isu yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Malah, golongan itu dilihat semakin berleluasa dan semakin berani meminta hak mereka didengari.

Mungkin ada dalam golongan itu mahu berubah tetapi malu dan tidak tahu bagaimana cara untuk kembali ke pangkal jalan.

Oleh itu, pihak kerajaan telah melancarkan sebuah aplikasi telefon pintar yang boleh membantu golongan LGBT berubah ke jalan yang benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memberitahu bahawa aplikasi atau e-buku tersebut hanya membantu golongan LGBT secara rohani.

“E-buku ini merupakan panduan yang mudah diakses oleh umat Islam untuk kembali ke jalan benar, dan merupakan usaha mengatasi masalah homoseksual. Kami berharap anda akan mendapat pengetahuan dan belajar bagaimana untuk mengambil langkah pertama ke jalan yang betul supaya anda dapat berjaya di dunia dan di akhirat,” ujarnya.

“Ianya untuk mereka yang mempunyai nafsu songsang, dan keinginan seks yang berdosa. Penulis memberikan bimbingan berdasarkan pengalaman peribadi sebagai kajian kes dan menjelaskan bagaimana dia menangani godaan dan bagaimana menanggung beban perbuatan masa lalu seperti melakukan seks luar tabi’e,” jelasnya.

Aplikasi bernama “Hijrah Diri – Homoseksualiti” boleh didapati secara percuma di Google Play dan anda boleh mendapat maklumat berdasarkan teori serta ajaran Islam.

Sumber: Oh Bulan & World Of Buzz