Baru-baru ini, kerajaan bercadang mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 0.02 peratus terhadap pembeli dalam talian termasuk portal e-dagang, seperti Lazada dan Shopee.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, menjelaskan caj mungkin dikenakan serendah 20 sen bagi pembelian RM1,000 ke bawah.

Namun, pihaknya masih belum menetapkan minimum pembelian untuk caj perkhidmatan itu dikenakan.

“Perkara ini masih dalam perancangan peringkat kementerian sebelum dibentangkan dan pendekatan ini adalah satu langkah untuk mencari sumber lain yang tidak membebankan rakyat,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Pada masa sama, caj perkhidmatan yang dikutip itu akan digunakan untuk penambahbaikan sistem keselamatan komunikasi untuk mengelak scammer dan pencerobohan siber,” jelasnya.

“Ini bukan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana sekarang ini, banyak pembelian dalam talian tidak membayar cukai sekali gus menyebabkan kerugian dan ketirisan hasil kerajaan berlaku,” tambahnya.

“Untuk mengenakan cukai ia rumit dan perlu diluluskan oleh Parlimen menyebabkan kita perlu memperkenalkan caj perkhidmatan ini,” sambungnya lagi.

“Oleh sebab itu, sistem keselamatan siber di negara ini perlu dipertingkatkan dan diperkemaskan bagi mengelak ia berlaku,” katanya mengenai serangan siber yang berlaku pada Western Union, baru-baru ini.

Sumber: Harian Metro