Sebelum ini, orang ramai memberi cadangan kepada pihak kerajaan agar menyediakan tempat sesuai untuk merokok sejak larangan merokok berkuatkuasa di semua restoran dan kedai makan awal tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, memberitahu bahawa kerajaan memahami keresahan dan rasa tidak puas hati perokok sejak larangan merokok dikuatkuasakan.

“Ada cadangan (daripada perokok) supaya kita mengadakan kawasan tertentu (berhampiran tempat larangan merokok) untuk mereka merokok dengan contoh yang selalu disebut di Singapura dan Jepun di mana disediakan tapak khas untuk mereka merokok,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, sekiranya kerajaan membuat satu kawasan khas untuk merokok, ia akan menjadi satu ‘limitation’ (sekatan) yang lebih kepada perokok.

bernama.com

“Sebab, kita katakan buat sementara waktu, kita tiada kawasan khas untuk merokok, ini bermakna mereka boleh merokok (di mana sahaja) asalkan 10 kaki (tiga meter) dari kawasan larangan, mana-mana tempat boleh merokok,” ujarnya.

“Tapi, jika ikut cara Singapura dan Jepun, ini bermakna mereka hanya boleh merokok di kawasan tertentu, kawasan yang lain tidak boleh, bukankah ini satu sekatan yang lebih besar?” soalnya.

Namun, Boon Chye menyatakan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) mungkin boleh menyediakan tempat membuang puntung rokok di kawasan yang terletak pada jarak tiga meter dari kawasan larangan merokok.

“Kita faham ada orang bantah, kenapa tidak sediakan tempat buang puntung rokok, (tapi) bila kita buat sampah, jadi tanggungjawab perokok untuk melupuskan puntung rokok. Jika restoran boleh sediakan tempat untuk buang puntung rokok, itu adalah nilai tambah kepada restoran itu,” sambungnya.

Tambahnya, pihak kerajaan juga tidak menafikan hak rakyat negara ini untuk merokok di kawasan jauh dari larangan merokok seperti kawasan persendirian dan tanah lapang.

Sumber: Berita Harian