Keputusan mengenai prosedur operasi standard(SOP) solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam minggu ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, menjelaskan bahawa perbincangan mengenai solat di masjid sudah dilakukan Jumaat lalu menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia(MKI).

“Peringkat Pusat belum lagi masuk Kabinet, kita telah buat satu kesimpulan pada Jumaat lalu hasil dari muzakarah tersebut. Kita masih menunggu keputusan daripada Kabinet untuk dibawa kepada Majlis Raja-Raja, dan itu barangkali di bawah kerangka bidang kuasa Sultan Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail),” ujarnya.

“Kemungkinan dalam minggu ini saya jangkakan akan ada pengumuman daripada Perdana Menteri tetapi kita sedia maklum bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun ini,” jelasnya.

Menurutnya, muzakarah tersebut mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Difahamkan, SOP itu akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah Kabinet terlebih dulu sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Ahad lalu, Muhyiddin dalam Perutusan Khas berkata kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) sedang memperhalusi SOP untuk kebenaran bersolat jemaah di masjid dan surau.

Sumber: Astro Awani