Menurut Kementerian Pendidikan, keputusan permohonan rayuan UPU Online untuk kemasukan ke Program Pengajian Asasi dan Diploma ke Universiti Awam(UA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) akan diumumkan esok.

Gambar sekadar hiasan

Pengumuman keputusan itu akan bermula 12 tengah hari esok sehingga pukul 11.59 malam pada 2 Julai melalui saluran di UPUPocket2.0 dan beberapa laman iaitu http://jpt.umt.edu.my; http://jpt.ums.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.utm.my; dan http://jpt.uum.edu.my.

Selain itu, semakan status permohonan rayuan juga boleh didapati melalui perkhidmatan penghantaran SMS ke 15888 dengan menaip UPU RESULT diikuti nombor kad pengenalan.

“Surat tawaran akan dikeluarkan oleh pihak UA dan semua calon berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Kementerian Pendidikan berkata tiada lagi rayuan boleh dibuat melalui UPU Online selepas tarikh hebahan keputusan permohonan rayuan diumumkan.

“Tawaran tempat adalah muktamad serta sebarang permohonan pertukaran adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Kaunter khidmat runding BPKPJPT untuk cara permohonan kemasukan UA, politeknik, kolej komuniti, dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dibuka di Kementerian Pendidikan, No 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, Putrajaya mulai esok (26 Jun) bermula 8.30 pagi hingga 4 petang (waktu dan hari bekerja sahaja) sehingga 2 Julai bagi memudahkan pemohon membuat semakan keputusan permohonan rayuan dan mendapatkan khidmat runding cara.

Kemudahan hotline BPKPJPT 03-88708200 turut disediakan pada waktu dan hari bekerja sahaja untuk membantu menjawab sebarang kemusykilan pemohon.

Sumber: Astro Awani & Bernama