Kecoh seketika apabila penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias, memuatnaik posting di laman Facebook memberi gambaran seolah-olah bakal menutup Bangunan Tahfiz Darul Barakah miliknya.

Posting bertarikh 4 Julai itu menarik perhatian orang ramai yang tertanya-tanya mengapa Ustaz Kazim mahu menjual Tahfiz yang diusahakannya itu.

“Saya membinanya dengan nilai keselesaan, cantik dan sejuk mata memandang. Sangat tinggi nilai halus kepada setiap pengunjungnya dan di sinilah tempat awal rakaman rancangan Kalau Dah Jodoh,” tulisnya.

Namun, dia hanyalah insan biasa menggunakan kudrat yang ada untuk menampung perbelanjaan Tahfiz itu terpaksa mengambil keputusan untuk menutup atau menjualnya.

“Penat, uzur, apatah lagi semakin sukar bergerak menjadikan semuanya semakin terbatas. Memang tidak sanggup berpisah dengan sekolah ini tetapi kalau berterusan begini, maka perpisahan dan penutupan adalah jalan terbaik,” luahnya.

Dikatakan satu entri di laman mudah.my dimuatnaik oleh individu bernama Ruzanna pada Sabtu lepas mengiklankan Kompleks Darul Barakah yang terletak di Manjoi, Perak, itu dengan harga RM5,000,000.

Berikutan itu, ramai pengguna warga laman sosial meminta Ustaz Kazim tidak menutup pusat Tahfiz tersebut dan bersedia untuk memberi sumbangan jika perlu.

Difahamkan, Ustaz Kazim bakal mengadakan sidang media pada hari esok(Rabu) berhubung isu ini. Semoga Ustaz Kazim kuat menghadapi dugaan untuk menjaga kebajikan pusat Tahfiz Darul Barakah ini.

Sumber: mStar