Sebuah restoran terkenal di Taman Berkeley, Klang, iaitu Berkeley Corner, telah dirobohkan oleh pihak berkuasa dalam satu operasi semalam.

Menurut kenyataan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang, restoran tersebut dirobohkan kerana ia dibina di atas tanah milik kerajaan.

“Kerja meroboh dilakukan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK), anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Bomba, Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor,” ujarnya.

“Tindakan diambil selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 19 Julai lepas, yang memutuskan pihak plaintif perlu merobohkan struktur bangunan di atas tapak berkenaan dalam tempoh satu bulan dan jika gagal pihak plaintif perlu menanggung kos perobohan berkenaan,” jelasnya.

“Sehubungan itu, pihak Pentadbir Tanah Klang telah mengeluarkan satu notis peringatan pada 26 Ogos lepas bertempoh tujuh hari kepada pemilik struktur untuk mengosongkan tapak berkenaan,” katanya.

Untuk pengetahuan anda, pencerobohan tanah kerajaan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara(KTN) 1965 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Difahamkan, restoran berkenaan mula beroperasi sejak tahun 2000. Terdahulu, pihak berkuasa cuba menjalankan operasi meroboh restoran berkenaan pada bulan Ogos tahun 2017 tetapi terpaksa dibatalkan selepas terjadi kekecohan selepas ia dibantah oleh orang ramai dan beberapa Badan Bukan Kerajaan.

Sumber: Astro Awani & Bernama