Tak sah rasanya jika makan nasi kandar tanpa makan kerepek rangup papadom sekali. Papadom sudah sinonim dengan rakyat Malaysia terutama mereka yang menggemari hidangan kari.

Namun, berita terbaru mengatakan papadom sebenarnya bahaya untuk dimakan kerana ia mengandungi garam yang sangat tinggi.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris, memberitahu bahawa hasil ujian makmal terhadap 11 sampel papadom menunjukkan ia mengandungi 1,000mg/100gm garam. Tambahnya, empat daripada sampel itu mengandungi lebih 2,000mg/100gm garam.

“Pengambilan papadom yang banyak dalam makanan akan menyebabkan kandungan garam dalam badan tinggi. Ia akan menyebabkan tekanan darah tinggi, meningkatkan risiko strok dan serangan jantung,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

“Sekeping papadom mengandungi 260 mg garam. Bayangkan jika satu hidangan, anda mengambil lima keping papadom, maknanya kandungan garam yang diambil adalah 1,300mg,” ujarnya.

Walaupun papadom tidak memudaratkan, namun jika ia dimakan secara berlebihan akan menyebabkan anda mengalami sembelit dan perut berangin.

Berikutan itu, Idris meminta Kementerian Kesihatan menetapkan kadar garam dalam papadom supaya pengambilan perasa tersebut dapat dikawal.

Sumber: Sinar Harian