Profesor Madya di Jabatan Perubatan Radcliffe, Universiti Oxford, United Kingdom, Dr Masliza Mahmod, 47 tahun, mengucapkan tahniah menerusi akaun Facebook miliknya kepada Dr Phaik Yeong Cheah di atas kejayaannya menjadi Profesor Madya di Jabatan Bioetik dan Perhubungan di Universiti Oxford sejak tahun 2016.

Malah, dia turut meminta pengikutnya untuk turut mengucapkan tahniah kepada Dr Phaik.

“Menarik perhatian saya dengan kejayaan Dr Phaik Yeong Cheah yang menjadi Profesor Madya di Jabatan Bioetik dan Perhubungan di Universiti Oxford sejak 2016,” tulisnya.

“Marilah kita mengucapkan tahniah kepada beliau kerana menjadi wanita pertama meraih pencapaian itu di Universiti Oxford,” tambahnya.

“Sebagai wanita Malaysia, kami berdua akan terus berusaha meletakkan nama negara di dalam peta (dunia). Tahniah kepadanya (Dr Phaik),” sambungnya lagi.

Untuk pengetahuan anda, Dr Phaik memulakan kerjayanya dalam bidang klinikal pada 1998 selepas memulakan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) prostatitis kronik (kelanjar prostat) di Pulau Pinang.

Kini, dia menetap di Bangkok, Thailand selain mengetuai Jabatan Bioetik dan Perhubungan universiti tersebut yang baru ditubuhkan.

Difahamkan, jabatan itu mengendalikan isu etika menerusi kajian dan berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat terdiri kanak-kanak, ibu mengandung, warga asing dan golongan kurang bernasib baik serta sukar dijejaki.

Terdahulu, Dr Phaik bertugas di pejabat Ujian Klinikal dan Kajian di Universiti Oxford.

Dia bertanggungjawab dalam menyediakan kajian etika dan amalan klinikal baik untuk penyelidik di samping memantau serta mengaudit ujian klinikal bagi pihak universiti.

Dr Masliza (sebelah kiri), Dr Phaik (sebelah kanan)

Sebelum ini, Dr Masliza, mengukir sejarah sebagai wanita pertama Malaysia dinaikkan pangkat sebagai profesor madya bagi perubatan kardiovaskular yang juga menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance(BSCMR).

Penyelidikan Dr Masliza mengutamakan penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular(CMR), teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baru untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.

Sumber: Harian Metro