Gambar: Malaymail

Sejak beberapa minggu yang lalu, negara ini telah menerima taburan hujan yang lebat walaupun pada dasarnya, monsun timur laut di negara ini berlaku sekitar bulan November hingga Mac. Setiap kali musim peralihan monsun, umum mengetahui bahawa akan berlaku hujan lebat adakalanya disertai ribut petir dan angin kencang.

Selain daripada itu, ia juga mempunyai risiko terhadap keselamatan manusia, misalnya kejadian banjir, tanah runtuh, angin kencang dan arus kuat di lokasi air seperti sungai serta laut. Kemalangan tanpa mengira cara, sebab dan lokasi boleh terjadi pada bila-bila masa jika seseorang terlupa untuk mengambil langkah-langkah penjagaan keselamatan asas.

Ini adalah 6 langkah-langkah keselamatan ketika musim hujan:

1. Hindari Lokasi Berisiko

Cara terbaik untuk mengelakkan kilat, banjir kilat, dan keadaan berbahaya lain adalah dengan tidak berada di kawasan yang terdedah pada bahaya. Secara logiknya, lokasi-lokasi akuatik seperti air terjun, sungai, paya, lombong, terusan, kolam, tasik dan laut perlulah dielakkan, terutamanya jika anda membawa anak-anak kecil.

Pelbagai cara yang ada untuk mendapatkan maklumat laporan kaji cuaca termasuklah dengan menonton ramalan cuaca semasa di TV atau internet, mendengarkan laporan cuaca di radio, serta melihat sendiri keadaan langit di sekitar kawasan anda. Pastikan anda peka keadaan sekeliling dan berada di kawasan yang selamat.

2. Sediakan Keperluan Asas

Gambar: Sela

Apabila berdepan dengan situasi buruk, terutamanya apabila hujan lebat membawa ancaman lanjutan, setiap isi rumah perlu menyediakan barangan keperluan seperti kit pertolongan cemas, lampu suluh yang dilengkapi bateri, ubat-ubatan selain bekalan makanan dan air bersih.

Pastikan juga anda mempelbagaikan stok makanan di kediaman anda, teruitamanya dari kategori makanan yang tidak perlu dimasak. Ia berguna sekiranya hujan lebat biasa bertukar menjadi tragedi yang lebih buruk hingga membawa kepada status darurat.

3. Cabut Plag Barangan Elektronik

Pastikan semua suis kuasa dipadam dan cabut plag barangan elektronik di rumah seperti televisyen, radio, modem, komputer dan barangan lain ketika hujan lebat diiringi petir. Dalam situasi lebih teruk seperti dilanda banjir, semua peralatan perlu dipadamlan, termasuk peti sejuk.

Pastikan juga barangan elektrik serta barangan penting lain di aras yang lebih tinggi supaya tidak dibawa arus air sekiranya berlaku banjir.

4. Jangan Meredah Banjir Atau Ribut

Jangan sesekali memandu kenderaan mengharungi air banjir kerana ia boleh membahayakan nyawa anda serta merosakkan kenderaan anda. Jika kenderaan anda terperangkap di dalam air banjir, segera keluar dan tinggalkan saja kenderaan anda sebelum paras air naik ke paras yang lebih tinggi.

Selain itu, jangan sesekali cuba merentasi ribut atau air banjir kerana kadar penglihatan anda pada ketika itu sangat rendah. Anda mungkin boleh terjerumus ke dalam parit, longkang, lubang dan sebagainya. Anda juga perlu mengenal pasti kawasan yang lebih tinggi di sekitar anda dan ketahui laluan pantas untuk keluar dari kawasan yang ditenggelami banjir.

5. Jangan Dekat Dengan Tiang Dan Pencawang Elektrik

Gambar: Greekreporter

Anda hendaklah menjauhkan diri anda dengan tiang atau pencawang elektrik kerana anda boleh terkena renjatan. Jika anda melihat seseorang rebah akibat terkena renjatan, jangan segera mendekati dan menyentuh mangsa tanpa memikirkan tentang risiko persekitaran terlebih dahulu.

Jika anda membantu tanpa pengetahun dan kemahiran, boleh menyebabkan anda juga menjadi mangsa seterusnya. Sebaik-baiknya, jaga jarak anda dan hubungi talian kecemasan dengan segera. Pastikan anda peka dengan arahan yang dikeluarkan oleh anggota keselamatan dan tahu lokasi pusat pemindahan sementara berdekatan anda.

6. Rancang Perjalanan

Hujan lebat tidak bermakna kita harus berhentikan urusan harian kita. Kita masih lagi harus keluar dan pergi bekerja. Sebaik-baiknya, rancang perjalanan tersebut dengan mengambil kira faktor cuaca, mengenal pasti laluan perjalanan yang berisiko (mungkin ditenggelami banjir), dan masa yang diperlukan untuk sampai ke destinasi tersebut.

Bagi yang terpaksa juga menaiki motosikal, elakkan berhenti berteduh di bawah jejambat tetapi meninggalkan motosikal di laluan kiri jalan raya hingga mengganggu kelancaran trafik. Pilih tempat hentian yang lebih selamat, termasuk yang disediakan khas di bahu jalan yang berjarak selamat.

Sumber: Awani