Ajal maut, jodoh pertemuan sememangnya di tangan Tuhan. Tiada siapa dapat menduga bila kita akan meninggalkan dunia ini, malah dengan siapa kita berjodoh.

Pasangan suami isteri, Khairul Azwan Razali, 24 tahun, dan isteri, Nur Syamimi Alia Mazlan, 24 tahun, mula berkenalan di Tanah Suci Mekah pada tahun 2011 dan mereka bersepakat untuk berkahwin pada 18 Jun 2018.

Walau bagaimanapun, Syamimi menghembuskan nafas yang terakhir pada Ogos lalu akibat kanser.

Mengimbau kembali detik perkenalan mereka, Azwan berada dalam kumpulan yang sama dengan arwah isterinya sewaktu mereka menunaikan umrah pada tahun 2011 dan mula rapat pada tahun 2016.

“Masa tahun 2016, dia mengadu sakit. Setiap kali pergi jumpa doktor, kata gastrik. Lepas jumpa dengan pakar, baru tahu ada kanser. Kami tetap berkahwin pada 2018, tetapi dia meninggal dunia pada 13 Ogos lepas,” ujar Azwan.

“Alhamdulillah, bulan Mac haritu kami sekali lagi ke Mekah. Pergi dengan keluarga saya. Kami sebenarnya rancang nak pergi Mekah lagi pada tahun 2020 dengan keluarga dia, tapi tak kesampaian,” jelasnya.

Kini, sudah menjadi rutin baginya untuk dia menziarahi pusara arwah isteri di Tanah Perkuburuan Bukit Tunggal, Kuala Nerus, Terengganu.

“Memang setiap hari saya melawat kubur arwah, ada kalanya dua kali sehari. Kalau habis kerja malam, saya juga akan pergi. Pernah tu saya pergi melawat pukul 2 pagi,” katanya.

“Paling lama tak pergi pun dalam dua hari je. Biasanya saya akan pergi selepas solat subuh dan selepas habis kerja. Keluarga dia pun selalu juga ke kubur arwah,” tambahnya.

Kisah Azwan dan arwah isterinya tular di laman Twitter baru-baru ini dan menyentuh hati warga laman sosial.

Semoga Azwan tabah menghadapi dugaan ini. Takziah buat keluarga dan marilah kita sedekahkan al-Fatihah buat allahyarhamah isterinya.

Sumber: mStar & Twitter @azwan_kar