Sejak kebelakangan ini semakin ramai golongan muda menjaja makanan dan minuman berhampiran lampu isyarat di sekitar jalan raya terutama di negeri Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, memberitahu bahawa aktiviti tersebut membahayakan keselamatan penjaja dan pembeli kerana mereka menjual di tengah-tengah jalan ketika lampu isyarat merah.

“Mana-mana jalan raya dan lampu isyarat di negeri ini bukan tempat menjaja dan tindakan saman boleh dikenakan kerana menganggu kelancaran trafik serta menghalang lalu-lintas,” jelasnya.

Tambahnya, penjaja yang menjual makanan boleh disaman dan pengguna jalan raya yang membeli makanan juga boleh disaman oleh pihak berkuasa.

Oleh itu, dia meminta kerjasama daripada pihak yang melakukan aktiviti penjualan seperti itu menghentikan jualan dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh negara ini.

“Kita tidak boleh ikut cara di negara lain seperti Indonesia yang menjaja merata-rata di jalanan kerana negara ini ada peraturannya sendiri. Perbuatan ini juga menganiaya pengguna jalan raya lain yang tidak terlibat dengan urusan tersebut kerana terpaksa menunggu jual beli selesai apabila lampu trafik hijau,” katanya.

Pada bulan Julai lepas, enam penjaja berusia antara 19 dan 20 tahun ditahan di Jalan Kuala Krai serta Jalan Pengkalan Chepa dikenakan saman mengikut Kaedah 10A LN 166/59. Kaedah tersebut memperuntukkan denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.

Sumber: Astro Awani