Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan diminta membuat kajian secara terperinci berikutan cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah(UPSR).

Gambar sekadar hiasan

Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia(UPM), Prof Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar, menjelaskan bahawa peperiksaan itu adalah penting untuk menilai pencapaian murid pada peringkat sekolah rendah.

“UPSR masih penting dan diperlukan untuk menilai tahap pengukuhan akademik terutama dalam mata pelajaran sains dan teknologi serta bukan akademik termasuk kemahiran setiap murid,” ujarnya.

“Bagi saya, ia wajar dikekalkan kerana masih relevan bagi penarafan murid untuk belajar bersungguh-sungguh dan lebih bersedia sebelum memasuki sekolah menengah,” jelasnya.

Menurutnya, kementerian juga perlu melihat jika dasar baru itu jauh lebih baik daripada sedia ada.

Gambar sekadar hiasan

“Kita pun tidak pasti apa yang bakal digantikan dengan UPSR. Tetapi bila hendak ditransformasikan, mesti ia lebih baik daripada apa yang ada sekarang,” katanya.

“Jadi kajian menyeluruh dan terperinci perlu dijalankan untuk melihat kebaikan, kelemahan serta apa yang perlu untuk ditambah baik,” tambahnya.

Untuk pengetahuan anda, hanya sistem pendidikan yang memberi penekanan seimbang antara pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum dapat membentuk sistem pendidikan yang holistik.

“Rasional bahawa peperiksaan UPSR membawa kepada sistem pendidikan yang menjurus kepada peperiksaan tidak boleh dinafikan tetapi pemansuhan peperiksaan berkenaan bukanlah penyelesaian terbaik,” sambungnya.

Sumber: Astro Awani & Sinar Harian