Kementerian Pendidikan Arab Saudi menawarkan sejumlah 300 biasiswa kepada pelajar Malaysia. Khabar gembira itu dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang menyatakan biasiswa itu dikhususkan kepada bidang sains dan teknologi.

“Arab Saudi juga sedang menyusun guru mereka daripada tiga subjek iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains untuk dihantar dan dilatih di Malaysia,” ujarnya.

“Ia bagi mempersiapkan sistem pendidikan mereka menghadapi Pendidikan Abad Ke-21,” tulisnya di akaun Facebook miliknya.

Menurutnya, pihak kementerian Malaysia berbesar hati menerima penghormatan sebegitu dan amat sudi untuk berkongsi pengalaman bersama mereka.

“Para guru mereka boleh mengambil pengalaman tinggal dalam budaya masyarakat Malaysia dan turut menyumbang dalam pembelajaran anak-anak kita di sekolah,” jelasnya.

“Pertukaran suasana sebegini merupakan satu inisiatif yang baik untuk meluaskan lagi spektrum pemikiran antara rakyat Malaysia dan Arab Saudi dan menyemarakkan aktiviti silang budaya,” tambahnya lagi.

Sumber: Sinar Harian