Dalam kesibukan kita mencari kesalahan orang lain di media sosial, jangan dilupa bahawa jika mereka yang kelihatan seperti jauh dari agama ini sebenarnya akan menjadi seorang yang bertuah kerana diberi hidayah oleh Yang Maha Esa satu hari nanti.


Seorang pengguna Twitter berkongsi cerita mengenai seorang lelaki transgender atau lebih dikenali sebagai pondan mendapat hidayah selepas mengikuti satu kem khas untuk LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender) beberapa tahun lepas.

Menurutnya, agak sukar untuk mengawal peserta kem tersebut kerana mereka membuat aktiviti sendiri seperti mandi sungai dan tidak mahu mengikuti aktiviti kem itu.

Kem itu diadakan bertujuan untuk mereka kenali diri dan sahsiah diri dan mereka semua diwajibkan untuk solat jemaah pada hari terakhir kem.

Namun, seorang pondan sembahyang bersama mereka dan selepas berzikir dan berdoa, tiba-tiba dia meraung sambil menangis.

“Dia dapat hidayah Allah. Dia kata dia tak pernah rasa setenang dan senyaman tu dalam sujud. Meraung raung dia memohon ampun dekat Allah. Volunteers semua tak tau nak buat apa. So ustaz pergi bersila depan dia,” tulisnya.

Pihak kem bersyukur kerana dalam 30 orang menyertai kem mereka, ada seorang yang mahu berubah. Mereka juga buat perjanjian akan pantau dan bantu pondan yang mahu berubah tadi.

Lepas setahun, mereka dikejutkan dengan berita bekas pondan itu telah meninggal dunia seminggu sebelum raya.

Banyak kemajuan kampung dan kebaikan diceritakan oleh imam mengenai sikap arwah seperti gajikan seorang ustaz untuk mengajar al-Quran, setiap malam jumaat sediakan jamuan lepas bacaan Yasin dan tahlil di masjid, mengajar kek secara percuma kepada ibu tunggal setiap hari sabtu dan sentiasa solat di masjid.

Difahamkan, orang kampung berlumba-lumba untuk menguruskan jenazah arwah. Malah, jenazahnya diusung oleh anak-anak Tahfiz dalam cuaca yang mendung dan tenang.

Sesungguhnya hidayah tidak mengenal sesiapa dan janganlah kita memandang rendah kepada golongan seperti ini. Bantulah mereka untuk kembali ke landasan yang benar dan bukannya menghukum mereka seolah-olah kita yang menjadi Tuhan.

Sumber: Twitter @FaizQayyuum