Walaupun wanita ini kelihatan begitu kusut masai serta tidak terurus sehinggakan masyarakat sekeliling menganggapnya kurang siuman, namun dia sebenarnya memiliki satu anugerah istimewa yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Untuk pengetahuan anda, wanita berusia awal 50-an yang berasal dari Indonesia itu memiliki suara merdu persis qariah ketika membaca ayat suci al-Quran sehingga membuatkan orang ramai terpegun mendengarnya.

Kisahnya mengundang pelbagai reaksi warga laman sosial selepas rakaman video berdurasi lima minit 32 saat itu dimuatnaik di Facebook oleh Rahcman Payuyu.

“Subhanallah!!, Orang tidak waras tapi suara merdu sekali. Semoga ALLAH SWT memberi kesihatan kepadanya. Amin,” tulisnya.

Sehingga kini, video itu meraih lebih 2 juta tontonan, 32,000 tanda suka dan lebih 52,000 perkongsian. Pada awal video, ada suara individu yang meminta wanita itu membaca surat al-Baqarah.

“Ayo mulai bismillah, wa minannas, ayo,” kata seorang penduduk.

Pada awalnya, wanita tersebut menolak dan sekadar senyum sahaja namun beberapa minit kemudian wanita itu melantunkan juzuk kedua dalam al-Quran.

Meskipun bacaannya bercampur tetapi mendengar lantunan ayat al-Quran daripada mulut wanita itu membuatkan penduduk mengungkap ‘ALLAH’ saat wanita itu membaca ayat demi ayat.

Sejurus selesai melantunkan ayat dalam surah al-Baqarah, penduduk terus menepuk tangan dan mengucapkan ‘Subhanallah’.

Malah, warga laman sosial turut tersentuh hati apabila mendengar alunan suara wanita itu dan mendoakan kesejahteraannya. Bukan calang-calang orang wanita ini! 🙂

Sumber: Sinar Harian