Kerajaan negeri Kelantan mengambil langkah untuk mengharamkan pusat karaoke dan shisha di negeri tersebut sebagai salah satu usaha untuk mengawal gejala sosial di sana.

upknkelantan.com

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, memberitahu bahawa ia akan memberi kesan kepada peningkatan gejala sosial dalam kalangan belia sekiranya aktiviti itu tidak dikawal, lapor The Malay Mail.

“Mereka lepak beramai-ramai untuk berhibur dan menghisap shisha sehingga jam 2 pagi di kedai berkenaan. Bila pulang lewat tentunya mereka akan terdedah dengan gejala yang tidak sihat,” jelasnya.

Selain itu, sebanyak 18 peniaga di Kota Bharu yang berniaga shisha di premis mereka akan dikenakan tindakan kerana Izani mengetahui ramai peniaga yang menjual shisha secara sembunyi.

Sebelum ini, tempat karaoke pernah diharamkan di Kelantan sejak tahun 1990 semasa ditadbir oleh kerajaan Parti Islam Malaysia(PAS). Walau bagaimanapun, kerajaan membenar tempat karaoke beroperasi semula dengan syarat-syarat lebih ketat hingga sekarang.

Sumber: The Malay Mail