Hujan lebat yang turun sejak semalam menyebabkan beberapa kampung di Kelantan terutama di Jeli, Tanah Merah dan Machang dinaiki air tengah malam tadi.

Difahamkan, tiga daerah itu dilanda banjir gelombang kedua menyebabkan beberapa kampung dinaiki air separas antara 0.5 sehingga tiga meter(m).

Antara kampung yang dinaiki air antaranya ialah Sungai Satan, Jeli Lama, Ayer Lanas, Gemang, Kalai, Batu Melintang dan Gunung Reng di Jeli. Manakala di Tanah Merah pula ialah Kampung Lawang, Kulim dan Batang Merbau.

Menurut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), 11 pusat pemindahan sementara(PPS) telah menempatkan seramai 939 mangsa daripada 340 keluarga sejak pukul 12.30 tengah malam tadi.

mstar.com.my

Untuk pengetahuan anda, PPS dibuka tujuh di Jeli, tiga di Tanah Merah serta satu di Machang.

Antara PPS dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1, SK Kalai, SK Legeh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, Dewan Kesedar dan Awam, PASTI Sungai Satan, Dewan KESEDAR/ PASTI Bukit Lakota dan Masjid Gemang di Jeli.

Di Machang pula, PPS dibuka di SK Lawang, SK Kulim dan SK Batang Merbau di Tanah Merah serta Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Hwa.

Diharap penduduk negeri Kelantan sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca terkini dan segera berpindah jika rumah dinaiki air hingga paras bahaya.

Sumber: Harian Metro