Penghujung bulan ini, Kelantan bakal dilanda banjir kerana hujan lebat dan kejadian air pasang besar yang berlaku secara serentak bermula 23 sehingga 26 November ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, menjelaskan bahawa pihaknya mengambil langkah bersiap sedia dari semasa ke semasa bagi memastikan persediaan lengkap menghadapi bencana itu.

“Jangkaan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan dan Persediaan Banjir antara agensi Isnin minggu lalu,” ujarnya.

“Dalam mesyuarat itu, tarikh 23 sehingga 26 November ini dijangkakan akan banjir di Kelantan dan pihak berkuasa sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menjalankan misi menyelamat mangsa banjir,” jelasnya.

Difahamkan, sejumlah 49 orang anggota polis menyertai kursus yang diadakan selama sembilan hari dan diberi sijil kendalian bot.

Menurutnya, para pegawai dan anggota menjalani latihan fizikal serta mental untuk menghadapi musim banjir kerana menggunakan tenaga untuk menyelamatkan mangsa banjir.

“Lebih 10 bot diperuntukkan dalam menghadapi bencana banjir di Kelantan dan kelengkapan itu akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung pada keperluan,” katanya.

“Selain usaha menyelamat mangsa, pihak berkuasa juga akan mengadakan pemantauan bagi mengelakkan kejadian jenayah berlaku ketika mangsa berada di pusat pemindahan sementara (PPS). Kadar jenayah ketika musim banjir dua tahun ini juga sedikit,” sambungnya lagi.

Sumber: Sinar Harian