Kek tradisional Sarawak, kek lapis Sarawak, tampil dalam rancangan televisyen terkenal Britain, The Great British Bake Off 2019, disifatkan sebagai ciptaan paling sukar oleh juri pertandingan rancangan tersebut.

Makanan yang popular dari Bumi Kenyalang itu telah dijadikan penampilan utama yang harus dihasilkan oleh para peserta pertandingan yang akan dinilai oleh barisan juri termasuk ketua juri, Paul Hollywood, yang juga cef selebriti terkenal.

Difahamkan, para peserta dikehendaki menambat hati juri melalui pembuatan kek lapis yang bukan sahaja sedap, malah perlu menampilkan kreativiti dan bakat mereka sebagai pembuat kek.

Untuk pengetahuan anda, Henry Bird telah menjadi peserta terbaik menghasilkan kek lapis Sarawak pada episod tersebut.

Peserta yang juga pembantu kedai dari Chester, Steph Blackwell pula telah menerima pujian tinggi dalam kalangan para juri untuk kek lapis yang dihasilkannya yang diberi nama ‘Orange and Chai Spices Revitalise Cake‘ manakala seorang geografi, Alice Fevronia yang menghasil kek lapis ‘Chocolate, Orange and Salted Caramel Kaleidoscope Sarawak Style Layer Cake‘.

Selain itu, peserta David Atherton telah mencipta kek mempunyai lapisan pelbagai warna yang menampakkan dirinya mampu bereksperimen dengan pelbagai warna ketika menghasilkan kek tersebut.

Dengan penampilan kek lapis Sarawak sebagai masakan utama dalam pertandingan masakan yang paling popular di England itu, ia sekali gus mengharumkan makanan Malaysia khususnya Sarawak di persada dunia yang merupakan pencuci mulut yang dilindungi hak cipta dan tempat pengeluarannya sejak 10 November 2010 oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Sumber: Sinar Harian