Pihak polis menafikan kenyataan seorang individu di laman sosial yang mendakwa kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hassan, 29 tahun, sudah terjawab dan polis akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut.

bhplus.com.my

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, menjelaskan bahawa kes kehilangan Ashraf masih lagi dalam siasatan dan kertas siasatan dibuka mengikut kes orang hilang.

Menurutnya, orang ramai diminta berhenti mengeluarkan kenyataan tiada fakta sehingga tular untuk menjaga sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa serta mengelakkan operasi mencari dan menyelamat(SAR) terganggu.

“Kenyataan individu mengatakan dia membongkar dan polis sudah diberitahu adalah satu perkara yang tidak betul, malah dia tidak berjumpa kita sebaliknya terus menularkan kenyataan ke laman sosial, jadi jangan ambil peluang untuk mengeruhkan keadaan serta menjadikan situasi lebih kusut,” ujarnya.

“Setakat ini, polis sudah melengkapkan kertas siasatan seramai tujuh individu termasuk ahli keluarga, rakan dan saksi bebas dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kehilangan Ashraf,” jelasnya.

“Semakan turut dibuat termasuk membuat pemeriksaan terhadap akaun bank, pergerakan kereta, komunikasi menerusi telefon bimbitnya dan hasil siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat,” tambahnya.

“Untuk makluman, hari Sabtu ini pihak kita akan mengatur pencarian lain pada sebelah pagi di kawasan kaki bukit, di lokasi orang belum cari lagi. Operasi itu dijalankan dalam skala yang kecil, namun kita fokus di lokasi lain daripada lokasi pencarian,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro