Susulan arahan menutup sementara operasi kedai makan dan restoran untuk memberi laluan kepada solat Terawih yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan(PBT), kini peniaga kedai makan dan restoran di Kelantan boleh menjalankan perniagaan seperti biasa.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, menjelaskan bahawa surat arahan yang tular baru-baru ini adalah hanya untuk pihak PBT dan tiada arahan dikeluarkan kepada peniaga.

“Surat arahan itu dikeluarkan kepada PBT dan belum sampai kepada peniaga. Setahu saya PBT pun tidak keluarkan arahan. Setakat ini boleh berniaga seperti biasalah, kecuali bila ada arahan daripada PBT,” jelasnya.

“Kalau mengikut proses biasa sebelum laksana, PBT kena lihat banyak perkara termasuk undang-undang kecil, peraturan sedia ada,” katanya.

Gambar sekadar hiasan

Tambahnya, arahan itu seharusnya dilihat daripada sudut positif oleh semua pihak dan tidak patut disensasikan.

“Saya ada dengar pandangan, dan Kerajaan negeri hormati, dengar dan kita terima. Arahan ini perlu dilihat dari sudut positif sebagaimana arahan larangan merokok di kedai makan. Perkara ini ada pro dan kontra, itu biasalah, tapi kita cuba lihat daripada sudut positif,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro