Esok kita bakal menyambut bulan Ramadan dan umat Islam juga akan mula berpuasa. Pasti ramai yang tertanya-tanya kedai makan dibenarkan beroperasi untuk jual juadah berbuka puasa atau tidak pada tahun ini kerana bazar Ramadan telah dibatalkan di seluruh negara bagi membanteras penularan wabak Covid19.

Berita baik bagi warga Kedah, semua premis makanan dan minuman Muslim di negeri itu dibenarkan beroperasi sepanjang bulan puasa daripada pukul tiga petang sehingga lapan malam saja.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris, menjelaskan bahawa tempoh operasi dibenarkan itu tertakluk kepada pentadbiran serta arahan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) masing-masing selain bergantung kepada situasi semasa.

“Bagaimanapun premis makanan dan minuman yang dibenarkan operasi dikehendaki menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran makanan yang berdaftar selain perlu menitikberatkan kebersihan penyediaan makanan,” ujarnya sambil menyatakan kebenaran premis perniagaan beroperasi itu dibuat berikutan kerajaan negeri membatalkan operasi bazar Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

“Bagi tujuan itu, kerajaan negeri menerusi portfolio saya sudah berbincang dan akan bekerjasama dengan Syarikat Foodpanda Malaysia Sdn Bhd, Sumhero Sdn Bhd (OdaMakan) dan Go Eat Sdn Bhd serta mengalu-alukan syarikat berkaitan yang sudi bekerjasama untuk menjayakan agenda ini,” jelasnya.

Selain itu, jika peniaga mahu menggunakan khidmat penghantaran sendiri, anda harus memohon surat kebenaran daripada PBT mengikut syarat yang ditetapkan.

Sumber: Harian Metro