Korea Selatan merupakan salah satu destinasi pelancongan popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Boleh dikatakan ramai rakyat kita kerap berkunjung ke negara tersebut berulang kali dalam tempoh beberapa tahun kerana gemar dengan budaya serta keunikan Korea Selatan.

Malah, rakyat Malaysia juga begitu menggemari makanan Korea dan suka meneroka makanan tempatan di sana semasa bercuti.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Mikail Arjuna, mendakwa dia terlihat hidangan ‘pork stew‘ dalam salah satu menu yang ada di sebuah restoran di Dongdaemun.

Difahamkan, restoran berkenaan merupakan antara restoran terkenal dalam kalangan pelancong Malaysia yang berkunjung ke sana untuk menikmati hidangan popular seperti ikan bakar, sotong panggang, seafood stew dan macam-macam lagi.

Menurutnya, dia memilih untuk berkunjung ke restoran itu atas cadangan rakan-rakannya selain membuat online research untuk mencuba masakan tempatan Korea Selatan.

“Sebaik tiba, saya melihat ada beberapa pelancong Malaysia yang sedang menjamu selera. Ini sedikit sebanyak menyakinkan saya untuk membuat pesanan,” ujarnya.

Ahjumma (makcik) dengan mesra menyambut kehadiran saya lalu menunjukkan pilihan ikan yang sedang dibakar di luar kedai,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Mikail berasa sedikit curiga apabila ahjumma itu keberatan untuk memberi senarai menu penuh terhadapnya.

“Saya mahu melihat menu penuh dan meminta kepada ahjumma. Sedikit pelik apabila dia kelihatan agak keberatan untuk memberikan kepada saya,” katanya.

“Dia mengambil menu dan menunjukkan pilihan makanan dengan dia sendiri memegangnya. Saya sememangnya mahu membelek sendiri menu tersebut,” tambahnya.

“Tidak mengapalah, dia nak pegang juga, hati saya berbisik. Wah! Ada menu yang saya inginkan sotong kurita masak merah pedaslah! Terus saya order satu set bernilai KRW10000 @RM36.30. Harga ini sangat murah berbanding di halal certified restaurant di Korea!” sambungnya lagi.

Selepas duduk di meja makan, dia mencapai menu yang tergantung disangkut pada tepi dinding kedai untuk menambah pesanan ikan bakar.

Alangkah terkejutnya dia apabila melihat pilihan hidangan yang ditawarkan dalam menu tersebut mempunyai masakan daging babi seperti ‘pork stew’.

“Memanglah ada ikan bakar dan sotong masak merah tu tapi dapur dan perkakasnya berkongsi sekali dengan masakan babi,” katanya.

Difahamkan, Mikail mendakwa restoran berkenaan mempunyai dua menu berbeza untuk diberikan kepada pelanggannya.

“Satu untuk orang Malaysia dan satu lagi untuk pelanggan lain. Menu orang Malaysia tiada pilihan hidangan babi di dalamnya,” ujarnya.

“Mereka mahir dalam mengecam pelancong Islam atau tidak. Sama ada dapat dilihat daripada pemakaian tudung, wajah, dan bahasa,” jelasnya.

“Jika mereka tahu anda seorang Muslim, maka ahjumma akan memberitahu pelayan bahawa kamu orang Malaysia dan pelayan tahu menu yang harus diberikan tiada hidangan babi, jika kamu minta menunya,” katanya.

Namun, perkongsian Mikail itu menerima pendapat berbeza daripada warga laman sosial Facebook.

Ada yang berasa ragu-ragu dengan dakwaan Mikail mengenai restoran tersebut kerana dia tidak menunjukkan bukti kukuh untuk menyokong dakwaannya seperti gambar menu atau maklumat lengkap mengenai insiden itu.

Tambah Mikail, dia terlupa untuk mengambil gambar menu yang mempunyai hidangan ‘pork stew‘ kerana berasa begitu terkejut.

“Sesiapa yang tidak yakin dengan peringatan ini, boleh ke ruang makan tingkat dua dan lihat kad menu berwarna pink yang tergantung pada dinding,” katanya.

“Nasihat saya jangan makan di sini. Bagi saya bukan pihak ahjumma yang patut kita persoalkan 100 peratus, tetapi sejauh mana kita memastikan kesucian dan kehalalan makanan yang kita ambil,” pesannya.

Sebagai seorang Muslim, lebih baik kita ambil pengajaran daripada perkongsian ini dengan lebih berhati-hati mencari restoran yang halal ketika melancong nanti.

Sumber: mStar