Banyak cerita tentang ibu bapa yang menolak vaksin sejak kebelakangan ini. Ia telah menjadi topik hangat buat rakyat Malaysia, terutamanya apabila ramai yang menolak vaksin untuk anak mereka.

Kedah merupakan antara negeri tertinggi yang mencatatkan kes penolakan vaksin dengan 139 kes dilaporkan tahun lalu berbanding 133 kes pada tahun sebelumnya, kata Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail. Menurut beliau, pada 2016 sebanyak 176 kes menolak vaksin dicatatkan.

“Antara alasan penolakan vaksin di Kedah adalah keraguan terhadap status vaksin sama ada halal atau haram dan keraguan terhadap kandungan vaksin tidak selamat.

“Sebab lain adalah pengaruh keluarga, mengamalkan perubatan homeopati dan bimbang dengan kesan sampingan vaksin,” kata beliau menerusi laman sosial pada Khamis lalu.

Menurut Dr Norhizan lagi, sebanyak 17 kes difteria dicatatkan di Kedah daripada 2015 hingga 2017, dengan empat kematian direkodkan. Satu kematian akibat difteria direkodkan pada 2015, dua kematian (2016) serta satu kematian (2017) dan kesemua kanak-kanak berkenaan tidak mendapat vaksinasi.

Pelbagai usaha khusus dilaksanakan untuk kumpulan sasaran yang dikenal pasti sebagai penolak vaksin, antaranya mengadakan kumpulan sokongan dan merujuk keluarga berkenaan kepada pakar.

“Selain itu kita juga mengadakan pendekatan bersama ulamak dan masuk ke perkampungan antivaksin untuk adakan pendidikan kesihatan dan kaunseling,” katanya.

Selain Kedah, Terengganu dan Perak juga mencatatkan bilangan kes penolakan vaksin yang tinggi berbanding negeri lain di Malaysia.

Peningkatan penolakan vaksin perlu di bendung untuk mecegah penularan wabak penyakit berjangkit cegahan vaksin. Oleh itu, banyak pihak turut menggesa kerajaan supaya menjadikan imunisasi ini sebagai satu kewajiban. Ini adalah demi mengelakkan wabak yang bahaya seperti apa yang sedang berlaku di Filipina.

Sumber: Sirap Limau