Malam tadi berakhirlah aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil antara Malaysia dan Vietnam dengan keputusan seri 2-2.

Dalam aksi yang mendebarkan jiwa penyokong Malaysia atau kini digelar ‘Ekor Harimau Malaya’, terdapat situasi yang tidak menyenangkan berlaku di stadium.

Sudah jelas bahawa stadium adalah kawasan larangan merokok, namun ada yang buat-buat tidak faham bahasa dengan merokok dalam kawasan stadium tanpa menghiraukan orang sekeliling.

Malah, satu jam sebelum perlawanan bermula, skrin besar dalam stadium juga sudah memaparkan stadium adalah kawasan larangan merokok selain setiap lorong dipenuhi papan tanda amaran.

Bukan itu saja, penyokong yang duduk selesa di atas kerusi terpaksa menghidu asap rokok yang dihembuskan tanpa bertimbang rasa.

twitter.com

Difahamkan, ada yang bersikap tidak endah apabila ditegur dan masih meneruskan perbuatan ditegah itu. Bayangkan jika perokok-perokok ini merokok di sebelah wanita mengandung dan kanak-kanak. Pasti bahaya!

Sebelum ini, insiden merokok dalam stadium pernah terjadi semasa perlawanan separuh akhir antara Malaysia dan Thailand di stadium yang sama.

Penonton datang mahu menyaksikan perlawanan bola sepak, mahu menyokong Harimau Malaya beraksi di laman sendiri. Namun, agak mengecewakan apabila penyokong negara ini sendiri yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Sumber: Sinar Harian