Selalunya bila tiba perlawanan akhir bola sepak piala tempatan, rakyat Malaysia pastinya sudah beratur panjang sejak awal pagi untuk membeli tiket perlawanan.

Namun, apa yang berlaku sebaliknya kerana perkarangan Stadium Shah Alam begitu lengang dan tidak kelihatan sibuk seperti sebelum ini.

Difahamkan, kelihatan hanya beberapa penyokong bola sepak hadir membeli tiket perlawanan akhir Piala FA antara Selangor menentang Pahang pada Sabtu ini.

Faiz Anuar

Seorang penyokong Selangor, Abd Hamid Ahmad, 42 tahun, terkejut melihat situasi yang tidak disangka-sangka itu semasa dia datang pada pukul 9.30 pagi.

“Saya beli 60 tiket dewasa dan lapan tiket kanak-kanak untuk ahli keluarga saya dan kawan-kawan. Alhamdulillah tidak perlu beratur banyak kali pada tahun ini. Ini kali pertama saya tengok jualan tiket Piala FA suram,” katanya yang sebelum ini terpaksa beratur panjang dan tiket juga terhad untuk dibeli.

Menurutnya, kemungkinan faktor Piala Dunia membuatkan semangat peminat tempatan hilang untuk menonton perlawanan akhir Piala FA.

Faiz Anuar

Selain itu, penjual tiket, Syed Muhazam Syed Abd Wadut, 39 tahun, berkata biasanya kaunter jualan tiket dilanda ‘tsunami’ akibat orang ramai berasak-asak untuk membeli tiket, tetapi apa yang berlaku semalam adalah sebaliknya.

“Kalau tahun lalu, selepas dua jam buka, tiket sudah habis dijual tetapi sehingga jam 12 tengah hari ini jualan tidak sampai 10 peratus dari 1,500 tiket yang diperuntukkan di setiap kaunter,” tambahnya.

Malah, seorang peniaga minuman, Shahrul Aizat Zulkeple, 26 tahun, juga tidak menyangka situasi begitu lengang hingga air minuman dijualnya juga belum habis dijual walaupun sudah menginjak pukul 11 pagi.

“Tidak pernah tengok suasana macam ini, sebab biasanya Piala FA atau Piala Malaysia, jika berkaitan Selangor memang meriah. Namun pada kali ini suram, tiada apa-apa,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro